Ahad, November 22, 2009

MPK LUMUT 1 MEWAKILI DAERAH BELAIT KE ANUGERAH KAMPUNG CEMERLANG (AKC) 2009

KUALA BELAIT, Rabu 18hb November 2009 - Sebanyak 15 Majlis Perundingan Kampung (MPK) seluruh negara berjaya ke penilaian peringkat akhir daerah bagi Projek Anugerah Kampung Cemerlang (AKC), dan daripada jumlah itu dua kampung di daerah Belait terpilih iaitu MPK Kampung Mumong dan MPK Kampung Lumut 1.

Sehubungan itu, rombongan panel hakim mengunjungi dua MPK kampung terpilih di daerah Belait hari ini untuk melakukan penilaian dan penghakiman akhir bagi ke pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

Rombongan terdiri daripada pegawai daerah dan pegawai Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Agama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perhubungan dan Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi yang diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mawardi Haji Abdullah.

Penilaian yang bermula dari hari ini hingga 2 Disember depan bermula dengan MPK Kampung Mumong sebelum rombongan hakim pergi ke MPK Kampung Lumut 1.

Daerah kedua yang akan dikunjungi seterusnya ialah Tutong, Temburong dan akhir sekali daerah Brunei dan Muara.

Pada peringkat daerah lalu, kemenangan dirangkul tiga kampung dari Tutong, enam kampung bagi daerah Temburong dan empat lagi bagi daerah Brunei dan Muara.

Aspek dan kriteria utama yang dinilai bagi projek berkenaan ialah pengurusan dan pentadbiran, perekonomian yang termasuk penghasilan produk dan sumber kekayaan kampung, mesra alam, kebersihan, keindahan, penjimatan tenaga dan keceriaan, projek dan aktiviti, keselamatan, kebajikan dan kemasyarakatan, keagamaan dan kemahiran serta pendidikan dan info-komunikasi.

Antara tujuan ACK adalah sebagai pemangkin pembangunan dan kemajuan masyarakat kampung, memberi pengiktirafan dan galakan kepada MPK dan penduduk kampung, mengukuhkan keberkesanan MPK termasuk mengangkat kewibawaan dan martabat institusi penghulu dan ketua kampung serta menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan MPK seluruh negara.