Khamis, Februari 25, 2010

PELANCARAN PAMERAN MINI ARTISAN DAN KRAFTANGAN BELAIT

Berakas, Sabtu, 20hb Februari 2010 MPK Lumut 1 dengan kerjasama BEDB dan didokong oleh Jabatan Daerah Belait dan MPM Labi telah mengadakan Pameran Mini Artisan dan Kraftangan Belait selama dua hari pada 20hb - 21hb Februari 2010 bertempat di Central Concourse Pusat Persidangan Antarabangsa. Pameran tersebut melibatkan 44 Artisan Kraftangan dari seluruh Daerah Belait dan Kumpulan Gulingtangan MPM Liang.
Pameran Mini Artisan dan Kraftangan Belait ini telah dilancarkan oleh YM Dato Paduka Haji Hamdillah Bin Haji Abd Wahab, Pemangku Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, pada pagi hari Sabtu 20hb Februari 2010. Turut hadir ialah YM Haji Jamain Bin Haji Momin, Pegawai Daerah Belait (Penaung), YM Dato Paduka Timothy Ong, Pengerusi BEDB (Penasihat), YB Haji Mohd Shafiee Bin Ahmad (Pengerusi), para jemputan dari jabatan-jabatan kerajaan dan sektor awam serta Ahli-ahli Institut Mukim dan Kampung Daerah Belait, serta rombongan dari Maktab Anthony Abell Seria.

Pameran Mini ini adalah fokal utama Fasa 2 Program Pengembangan Produk (PPP) dan ianya diadakan untuk mendedahkan para artisan dan mengetengahkan produk kraftangan yang dihasilkan oleh para peserta PPP tersebut. Fasa 1 PPP pula telah dijalankan pada 11hb - 18hb Oktober 2009 dimana fokal utamanya ialah Bengkel Pengembangan Kraftangan yang diadakan di Dewan Serbaguna Mukim Labi.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu para peserta program untuk mempunyai pendapatan yang lebih mampan melalui pengembangan rekaan hasil kraftangan mereka.